Kerajaan mesyuarat khas esok bincang langkah tangani Covid-19

Adham
Adham
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan langkah seterusnya dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19) selepas jumlah kes positif jangkitan itu merekodkan peningkatan kepada 428 kes sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain Kementerian Kesihatan (KKM), mesyuarat itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas meninjau langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani penularan Covid-19 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata, KKM mengambil langkah drastik terhadap jemaah dengan menggunakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir para jemaah menghadiri perhimpunan tabligh atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

"KKM meminta mereka yang berada di Masjid Sri Petaling supaya tampil menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

"Jika peserta perhimpunan tabligh berkenaan terus enggan tampil membuat pemeriksaan, KKM akan menggunakan akta itu bagi memaksa dan memburu peserta berkenaan," katanya.

Dalam masa sama, Dr Adham berkata, seramai 6.8 juta warga asing dan rakyat negara ini sudah disaring di semua pintu masuk Johor sejak 5 Januari lepas sehingga hari ini.

"Kita bersyukur tiada yang positif Covid-19 (daripada saringan) dan ini perkembangan yang sangat baik, maknanya kita boleh kekang kemasukan (Covid-19) dari luar negara," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!