Thailand catat 32 kes baharu hari ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand telah mencatat 32 kes baharu Covid-19 yang tertinggi dalam tempoh sehari sejak penularan virus itu pada Januari, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara tersebut setakat ini ialah 114.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata, sembilan kes baharu membabitkan individu yang berkunjung ke Stadium Tinju Lumpinee dan Stadium Muaythai Rajadamnern di Bangkok manakala lapan mengunjungi tempat-tempat hiburan.

Beliau berkata, tujuh pesakit yang terdiri daripada lima rakyat Thailand dan dua pelancong dari luar negara, tiga lagi merupakan kontak rapat seorang pelancong di Lapangan Terbang Suvarnabhumi manakal dua lagi adalah pekerja sebuah restoran di Bangkok yang pemiliknya, seorang rakyat Singapura, sebelum ini telah diuji positif bagi Covid-19.

“Tiga lagi adalah pesakit dalam siasatan (PUI) yang didiagnosis dengan Covid-19. Kami sedang menyiasat sumber jangkitan itu,” katanya pada taklimat harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Thailand, negara pertama di luar China yang melaporkan kes jangkitan Covid-19, telah mencatat sejumlah 114 kes dengan satu kematian, 76 masih menerima rawatan di hospital manakala 37 orang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu, Sukhum berkata, Kementerian Kesihatan Awam akan mencadangkan tiga langkah bagi mengekang penularan virus tersebut di Thailand dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha esok.

Langkah-langkah itu ialah mengurangkan jumlah pelancong ke negara tersebut, menutup pusat-pusat hiburan dan melarang perhimpunan di Thailand.

Sukhum berkata sejumlah 83 orang yang kembali dari Itali hari ini menjalani kuarantin selama 14 hari di pangkalan tentera laut Sattahip dalam wilayah Chonburi.

Artikel Berkaitan:

‘Enam daripada mereka yang menunjukkan gejala berkaitan Covid-19 telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Pattani Kraisorn Visitwong mengarahkan pihak berkuasa untuk mempertingkat pemantauan bagi memastikan mereka yang menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur menjalani tapisan kesihatan di hospital berhampiran. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!