Apabila mesin bercakap dengan manusia
AYAT WhatsApp dan komunikasi bersemuka memang berbeza. Malangnya, ia boleh salah tafsir jika tidak kena pada masanya. Misalnya ayat seperti ini. “Pergi balik sekarang!!!”
Ayat ini dihantar menggunakan WhatsApp, ia dibaca dengan perasaan marah atau orang yang anda hantar sentiasa memandangnya negatif.
Semestinya temperature anda akan naik dengan mendadak dek kerana ayat itu.
Namun, jika ia dihantar oleh orang yang anda sayang, misalnya emak, suami, isteri atau kekasih. Mestilah nada anda akan menjadi sebaliknya. Sejuk hati dan telinga penerima.
Itu antara masalah yang terjadi apabila kita menggunakan teknologi menggantikan komunikasi dalam urusan seharian. Walaupun memudahkan, tetapi kadangkala ia boleh membawa masalah lebih besar.Ya, teknologi banyak memudahkan, sekiranya kita gunakan dengan baik. Tetapi boleh mendatangkan masalah jika digunakan pada tempat yang tidak kena masanya.
Mesin tidak mengeluarkan emosi, emosinya pada kita yang menerima. Perkara sama juga berlaku sekiranya kita membaca ketika penat.
Saya sendiri tidak terkecuali pernah alami masalah sama dalam perkara ini. Hinggakan penerima sering salah sangka dengan saya.
Sedangkan mengikut teori, komunikasi yang berkesan mempunyai empat ciri iaitu kefahaman, keseronokan, menjaga kepercayaan sasaran dan adanya tindakan yang menyusuli.
Di mana kita sebenarnya, adakah kita mempunyai empat ciri-ciri berkenaan? Jika tiada atau terkurang daripada empat ciri-ciri itu, mungkin kita tersenarai dalam kategori gagal berkomunikasi.
Tetapi belum terlambat, ia masih boleh diatasi, cuma kita kena buang sikit sikap ego dan tinggi diri yang tidak bertempat itu, insya-ALLAH selamat.Dari segi kebaikannya, penggunaan teknologi kepada rakyat pula adalah menggunakan aplikasi internet untuk membuat permasaran digital, ia amat murah dan minimum kos.
Buktinya, mengikut laporan TNS Global pada 2017, Malaysia adalah negara terbanyak menggunakan WhatsApp dengan jumlah 77 peratus, diikuti Facebook Messenger sebanyak 41 peratus.
Ini sebab kenapa rakyat kita memilih menggunakan WhatsApp berbanding dengan aplikasi lain.
Laporan itu juga berkata, aplikasi itu juga bertindak sebagai perantaraan berkesan dalam sesebuah organisasi kerana setiap saat arahan atau makluman boleh dikirimkan tanpa batasan masa dan menjimatkan kos.
Selain WhatsApp, kita tidak terlepas juga berdepan dengan masalah komunikasi pada media sosial.
Hal rumah tangga diceritakan, hal pejabat pun sama. Jadikan tempat terbuka sebagai tempat luahkan perasaan. Kononnya seronok bila kenalan maya bertanya pada ruangan komen.
Untuk apa semua ini: sekadar menjadi popular di media sosial atau ada sebab yang lain?
Akhirnya, masalah lain pula akan timbul, bertimpa-timpa masalah dek kerana masalah komunikasi yang tidak berkesan ini.
Sesekali sekiranya ada sedikit masa, cuba scroll media sosial anda, bagaimana dengan komunikasi maya pula.
Lihat saja kicauan Twitter dan posting Facebook, berapa peratus yang memanaskan hati dan yang mana pula akan menenangkan hati kita.
Semestinya tidak terkira berapa banyaknya akaun yang tidak dikenali atau menyamar yang amat suka melakukan provokasi yang melampau. Ini juga antara masalah komunikasi yang boleh menaikkan paras darah kita.
Semua ini berkaitan dengan komunikasi, ia juga ada kalanya dijadikan senjata untuk kebaikan atau sebaliknya.
Ingat, stres boleh membunuh. Jadi kita kena bijak untuk mengendalikan komunikasi kita dalam urusan seharian.
Ketua Pusat Komunikasi dan Industri Media kreatif (CMCi) UPM, Syed Agil Alsagoff berpendapat sudah sampai masanya masyarakat kita memilih kandungan media yang memberikan manfaat kepada mereka atau sebaliknya.
Komunikasi cermin keperibadian kita, oleh itu hati-hati bila guna teknologi kerana anda sedang diperhatikan.
* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Produser Kandungan Berita Digital Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!