Menyusukan kera di hutan

A
A
A

TELAH menjadi lumrah kehidupan manusia, kita cepat berasa tersentuh apabila melihat orang luar yang hidup melarat dan kesusahan. Lantas, berbondonglah bantuan diberikan sebagai lambang manusiawi yang tinggi. Niat murni ini tidak salah tetapi semangat yang ditunjukkan untuk membantu ini menyebabkan kita terlepas pandang kepada mereka yang merintih dan sengsara di depan mata.

Adalah wajar jika bantuan dihulurkan kepada mereka yang berhampiran terlebih dahulu sebelum memanjangnya kepada mereka di luar sana.

Perkara sebegini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan seharian, malah berlaku juga di dalam organisasi. Organisasi sering melihat orang luar sebagai hebat dan berbakat berbanding dengan warga sendiri. Lantas, keistimewaan dan sanjungan diberikan kepada orang luar yang diambil bekerja secara sementara atau perunding bagi menyelesaikan sesuatu misi atau projek.

Ketaksuban kepada orang luar ini tambah membimbangkan apabila cadangan mereka semuanya dianggap sebagai alternatif terbaik dan perlu dilaksanakan. Keyakinan keterlaluan kepada orang luar sedikit sebanyak menyebabkan warga sedia ada dikesampingkan. Organisasi gagal melihat bakat yang sedia ada dan mendengar pandangan mereka.

Fenomena mengagungkan orang luar dalam sesebuah organisasi ini boleh dikaitkan dengan beberapa situasi. Pertama, kepakaran modal insan berbakat dalam organisasi tidak diiktiraf atau diabaikan. Organisasi sering menafikan hal ini, namun tindakan organisasi dilihat sebaliknya oleh warga yang dalam diam menjeruk rasa. Organisasi mungkin juga tidak sedar kewujudan bakat tersebut atau organisasi sememangnya suka memandang bakat luar bagi menaikkan nama organisasi.

Dalam situasi ini, pekerja berbakat sedia ada dalam organisasi rasa terpinggir, dianaktirikan dan tidak dihargai oleh organisasi. Justeru, adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika sesetengah warga tidak mendapat tempat dalam organisasi tetapi cemerlang, terkemuka dan menjadi juara di luar organisasi.

Kedua, ganjaran lebih rendah serta kemudahan laluan kerjaya yang terhad diberikan kepada warga sedia ada berbanding orang luar yang baru menyertai organisasi. Ini termasuklah unsur diskriminasi dalam perancangan dan kenaikan pangkat untuk warga sedia ada berbanding orang luar. Walaupun organisasi menyatakan mereka mengamalkan penetapan ganjaran yang adil, realiti dan persepsi menunjukkan ganjaran lebih memuaskan diberikan kepada orang luar.

Ketiga, terdapat pemimpin yang mengurus organisasi secara mikro jika ia dilakukan oleh pekerja dalaman. Namun jika ia dilakukan oleh orang luar, pemantauan secara mikro cuba dielakkan kononnya dengan alasan memberi kepercayaan penuh kepada mereka yang telah dilantik.

Artikel Berkaitan:

Keempat, penghargaan atau pengiktirafan hampir sukar diberikan kepada warga dalam organisasi. Sebaliknya, sanjungan ini kerap diberikan kepada orang luar yang mempunyai pangkat dan kedudukan terbaik dalam masyarakat. Organisasi seolah-olah tidak kisah berhabisan demi orang luar asalkan ia mampu meningkatkan imej dan nama baik.

Bagi penulis, ada kewajarannya bagi organisasi mementingkan orang luar dalam mencorak dan mengurus entiti kita, namun sikap berlebihan dan ketara terhadap layanan yang diberikan kepada orang luar boleh memberi impak negatif berpanjangan kepada moral dan motivasi warga dalaman organisasi. Demi keharmonian, organisasi perlu menangani isu tersebut secara tuntas.

Strategi pemerkasaan bakat dalam organisasi boleh diaplikasi dalam menangani isu tersebut. Berilah makan pakai secukupnya kepada anak dan isteri di rumah, kemudian barulah memberi susu kepada kera di hutan. Dengan melakukan hal sedemikian, ia mampu mengubat luka dan rasa kecewa warga akibat layanan dan sanjungan keterlaluan yang diberi oleh organisasi kepada orang luar. Selain itu, ia mampu menyuburkan diaspora bakat warga bagi mendepani cabaran hari muka.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!