Terserah kepada pengundi untuk nilai
PUTRAJAYA - Rakyat di Cameron Highlands mempunyai hak untuk menilai kenyataan Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad yang didakwa mengugut tok batin, baru-baru ini.
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara paling penting dilakukan oleh Bob Manolan dengan memberi penjelasan sewajarnya.
"Terserah kepada Orang Asli untuk menilai kenyataan itu, namun paling penting dalam pilihan raya, kita (PH) mahu menang," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu KDN di sini hari ini.
Jumaat lalu, Bob Manolan tampil memberi penjelasan menjernihkan keadaan berhubung kata-katanya yang ditafsirkan sebagai ugutan terhadap tok batin di Cameron Highlands.
[ARTIKEL BERKAITAN:Tak kan nak ugut etnik sendiri: Bob Manolan]
Ketika ditanya mengenai foto seorang wanita memakai baju PH mengagih wang pada PRK Cameron Highlands, Muhyiddin enggan mengulas lanjut.
"Saya tiada di tempat kejadian," katanya.
Muhyiddin berkata, PH optimis dapat membangunkan Cameron Highlands sekiranya memenangi PRK tersebut kerana kerajaan mempunyai kapasiti dan sumber.
“Cameron Highlands merupakan produk pelancongan namun, ada banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada pelancong. Jadi, saya rasa lebih banyak lagi kita boleh lakukan di situ," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!