Covid-19: Nufam cadang kerajaan tubuh Jawatankuasa Tindakan Kecemasan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) menggesa kerajaan segera menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kecemasan (EAC) bagi membincangkan langkah terbaik bagi membantu sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Presidennya, Ismail Nasaruddin berkata, perbincangan yang melibatkan semua pihak termasuk pemegang taruh syarikat penerbangan, kesatuan pekerja, syarikat penerbangan dan pihak berkaitan perlu bagi memastikan semua pihak khususnya kru kabin mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kita mohon kerajaan percepatkan perbincangan ini supaya semua perkara dapat dibincangkan secara telus kerana kita mendapat banyak laporan daripada ahli-ahli (kru kabin) yang terjejas susulan ada syarikat yang memotong gaji, elaun tanpa memberi notis terlebih dahulu.

“Jadi, cara terbaik ialah mewujudkan jawatankuasa ini supaya semua pihak diberi peluang mempertahankan hak masing-masing kerana tindakan beberapa syarikat penerbangan ketika ini tidak adil kepada pekerja.

“Kita faham, dalam situasi sekarang industri penerbangan terjejas teruk tetapi ada masa sama mereka tidak boleh hanya menjadikan kru kabin sebagai mangsa.

“Bayangkan bagaimana perasaan pekerja apabila melihat gaji mereka dipotong tanpa sebarang notis sedangkan pendapatan mula terjejas sejak dua bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib kakitangan syarikat penerbangan yang terpaksa diberikan cuti tanpa gaji susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Katanya, sudah tiba masanya juga bagi semua syarikat penerbangan mempunyai pelan alternatif untuk berdepan dengan isu di luar jangka seperti ini bagi memastikan situasi sama tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

“Kita pernah melalui pengalaman hampir serupa pada tahun 2004 ketika Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS). Tetapi ketika itu hanya China dan Hong Kong sahaja terjejas teruk.

“Bagaimanapun Covid-19 menyerang hampir ke seluruh dunia, jadi setiap syarikat penerbangan perlu ada pelan alternatif masing-masing,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!