Covid-19: Pembelian panik terdedah manipulasi pasaran

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna tidak perlu panik dan kelam-kabut membeli barang walaupun wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia kini diisytiharkan sebagai pandemik.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi panik mendedahkan pengguna kepada manipulasi dalam pasaran.

Menurutnya, mereka yang mengambil kesempatan melakukan pencatutan dan mengawal harga dan bekalan barangan akan menggunakan peluang berkenaan untuk meraih keuntungan lumayan.

"Kami percaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil langkah perlu untuk memantau pasaran supaya tidak berlaku perlanggaran undang-undang sedia ada.

"Adalah sangat perlu semua pengguna tidak mudah terperangkap dalam keadaan di luar dugaan ini kerana wabak ini sedang mencetuskan krisis global yang rumit untuk ditangani sendirian," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azmi berkata, dalam keadaan yang sangat rumit ketika ini, pengguna perlu turut bekerjasama kepada pihak berkuasa supaya keadaan dapat dikawal dengan bijak.

Menurutnya, dorongan untuk membeli barangan secara pukal kerana melihat orang lain berbuat demikian adalah tidak bijak.

"Kami menyeru Dewan Perniagaan turut berperanan mengawal pengeluar dan peniaga supaya beretika berniaga dalam keadaan yang sangat sukar ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi turut menyarankan dua langkahdiambil para pengguna iaitu mengikuti perkembangan terkini wabak Covid-19 menerusi sumber rasmi kerajaan serta mendahulukan keperluan asas dalam pembelian bagi mengelakkan elemen pencatutan berleluasa.

Minggu lalu, media tempatan melaporkan sikap segelintir rakyat negeri Pulau Pinang membuat pembelian panik mula dikenal pasti apabila berebut untuk membeli barangan keperluan, seperti makanan dan kertas tandas setelah negeri itu melaporkan kes jangkitan Covid-19 pertamanya pada 9 Mac lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!