1,515 peserta menyertai pertandingan memancing TMST2020

Antara peserta yang menyertai Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam.
Antara peserta yang menyertai Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 1,515 peserta menyertai pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour (TMST2020) siri pertama di Pantai Cahaya Negeri di sini semalam.

Pertandingan memancing anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu dipilih sebagai salah satu aktiviti untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 di seluruh negara.

Pengarah Pelancongan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, Port Dickson dipilih sebagai pembuka tirai acara itu kerana tarikannya sebagai pusat peranginan terkenal negara ini.

Katanya, penyertaan yang menggalakkan membuktikan program seumpama itu mampu menarik kedatangan pelancong domestik.

“Walaupun kini kedatangan pelancong agak terjejas disebabkan wabak koronovirus (Covid-19) namun kita tidak menyangka program pertama yang berlangsung di sini sangat meriah.

“Kita ada peserta yang datang dari luar Negeri Sembilan termasuk Kuantan, Selangor, Melaka dan Singapura,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan program pertandingan memancing TMST2020 siri pertama di Pantai Cahaya Negeri di sini semalam.

Ammar berkata, bagi memastikan kesihatan peserta, mereka akan disaring sebelum mendaftar.

“Jika ada yang demam kita tidak benarkan mereka bertanding. Peserta juga perlu menggunakan hand sanitizer,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Acara berkenaan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa (empat dari kanan) dan Ammar (dua dari kanan) bergambar bersama pemenang pada Majlis Perasmian Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa (empat dari kanan) dan Ammar (dua dari kanan) bergambar bersama pemenang pada Majlis Perasmian Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya, Port Dickson semalam.

Bagi siri pertama ini, tempat pertama dimenangi oleh pemenang dari Melaka, Yusri Yusoff, 52, yang membawa pulang wang tunai RM60,000.

Tempat kedua dimenangi Mohd Zawawi Zakaria, 41, dari Pekan, Pahang dengan menerima wang tunai berjumlah RM10,000, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Rauf yang menerima wang tunai RM5,000.

Yusri ketika ditemui memberitahu tidak menyangka niat untuk menyertai acara pertandingan memancing secara suka-suka akhirnya membawa tuah.

Katanya, dia yang baru sahaja belajar memancing bersama rakan-rakan sejak setahun lalu terkejut kerana percubaannya membawa habuan besar.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM115,700, dua cabutan bonanza motosikal Modenas Kriss dan pelbagai barangan memancing dan hamper.

Turut diadakan dua kategori pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan beyblade, memancing ikan keli dalam sangkar, pet zoo dan bengkel teknik membaca alaf-21 yang dikendalikan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!