Covid-19: Rakyat di Iran, Itali akan dibawa pulang minggu ini
PUTRAJAYA- [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar Negeri (KLN) dijangka membawa pulang rakyat di Iran dan Itali dalam Misi Bantuan dan Bencana (HARD) kali ketiga, minggu ini susulan penularan koronavirus (Covid-19).
Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, setakat ini 48 individu di Iran termasuk kakitangan kedutaan dan tanggungan telah bersetuju untuk dibawa pulang.
"Kesemua yang berdaftar di Iran akan dibawa pulang," katanya.
Menurutnya, seramai 323 rakyat telah mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan.
"Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 79 individu yang menyatakan persetujuan untuk dibawa pulang," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memberi tempoh 48 jam kepada rakyat di Itali untuk memuktamadkan keputusan mereka sama ada bersetuju untuk dibawa pulang atau sebaliknya.
"Tidak semua warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak kedutaan di Itali akan pulang memandangkan ada di antara mereka yang telah bermastautin di sana serta tidak berhasrat meninggalkan negara berkenaan.
"Kita beri tempoh 48 jam lagi untuk mereka membuat keputusan sebelum proses dokumentasi dilakukan," katanya.
Menurutnya, kedutaan di Iran dan Itali telah menubuhkan pasukan petugas kecemasan (ERT) bagi usaha berkenaan.
"Warga Malaysia di Iran dan Itali dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pihak kedutaan bagi mendapatkan bantuan atau nasihat.
"Ini penting bagi memastikan semua maklumat yang diperlukan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang terlibat dalam operasi berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kamarudin menyeru rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, termasuk ke benua Eropah.
"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar.
"Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya.
Misi HADR kali pertama digerakkan pada 4 Februari lalu disusuli 25 Februari.
Kedua-dua misi itu membawa pulang 173 rakyat Malaysia dan tanggungan mereka di sekitar wilayah Hubei dan bandar Wuhan yang mana virus itu bermula.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Misi HADR yang ketiga melibatkan Iran dan Itali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!