Polis buru penyebar info palsu ‘Covid-19 Hour #MalaysiaLockDown’
KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengesan individu yang menyebarkan maklumat palsu berhubung infografik ‘Covid-19 Hour #MalaysiaLockDown’ yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perbuatan berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada orang ramai.
“Kami akan mencari siapa individu yang tidak bertanggungjawab itu yang menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan kegusaran awam.
“Fikirkanlah kesannya kepada orang ramai sebelum menyiarkan sesuatu maklumat kepada umum,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam Facebook rasminya berkata, tiada sebarang perintah ‘lockdown’ di Malaysia akibat koronavirus (Covid-19).
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Adham nafi infografik tular 'lockdown' esok
Infografik yang dikongsi netizen melalui Facebook dan Whatsapp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020 (pada hari ini), 8 hingga 10 pm.
Infografik Covid-19 Hour itu menyuruh rakyat Malaysia supaya berada di kediaman masing-masing selain menyebut beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran serta sembahyang dan berdoa.
Setakat tengah hari Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan, 190 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!