Selepas ICERD, ICCPR juga patut ditolak
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selain keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD),ICCPR juga tidak wajar diratifikasi.
"Bagi Pemuda Umno, secara khususnya ICCPR adalah antara konvensyen yang tidak wajar diratifikasi kerana turut mempunyai bahagian yang bertentangan dengan sistem perundangan dan kedaulatan negara.
"Perkara 18 Konvensyen ini, yang dibaca bersama Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 sebagai contoh, menggariskan bahawa negara-negara yang menyertai dan mengesahkannya haruslah mengangkat hak kebebasan untuk beragama. Hak-hak ini termasuklah hak untuk murtad, menukar agama tanpa sekatan termasuklah untuk menjadi atheist," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Asyraf Wajdi, ICCPR juga akan membolehkan ajaran-ajaran sesat dan menyimpang daripada orientasi Ahli Sunnah wal Jamaah yang diamalkan di negara ini seperti Syiah, Qadiani dan lain-lain dijamin dan diberikan hak untuk diamal dan disebarkan tanpa sekatan dan kawalan.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD ]
Justeru katanya, Pemuda Umno dengan tegas mendesak agar jaminan kerajaan bukan sahaja untuk tidak meratifikasi ICERD tetapi konvensyen-konvensyen antarabangsa yang lain khususnya ICCPR di samping itu memastikan Malaysia meneruskan usaha menghapuskan diskriminasi menurut acuan Perlembagaan, sejarah dan nilai-nilai budaya masyarakat berbilang kaum yang telah lama disepakati bersama.
Selain itu, tambah beliau, akhirnya kerajaan akur kepada kehendak rakyat yang mendesak agar ICERD tidak diratifikasikan kerana jelas membelakangi kontrak sosial dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Sejak awal Pemuda Umno menegaskan bahawa tiada keperluan untuk Kerajaan mencetuskan suasana tegang di kalangan rakyat apabila terus angkuh mahu meratifikasi konvensyen antarabangsa yang jelas beberapa peruntukannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Bagaimanapun Pemuda Umno tetap mendesak agar kerajaan memberikan jaminan untuk lebih berhati-hati sekiranya wujud sebarang desakan lain di masa hadapan untuk meratifikasi lima lagi Konvensyen Antarabangsa di bawah instrumen Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang perlu diperhalusi dan melalui proses mendapatkan pandangan awam," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!