Covid-19: Madinah Ramadan tahun ini dibatalkan
KOTA BHARU - Program Madinah Ramadhan tidak akan diadakan tahun ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut dibuat berdasarkan arahan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
“Dimaklumkan bahawa Menteri Besar Kelantan telah mengarahkan supaya program Madinah Ramadhan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tahun 1441H/2020M iaitu pada tahun ini ditiadakan.
“Sehubungan dengan ini, segala perancangan dan persiapan untuk majlis tersebut juga hendaklah dihentikan serta-merta,” katanya hari ini.
Program berkenaan merupakan acara tahunan di Kelantan yang diadakan setiap kali Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV dan menjadi salah satu tarikan pelancong untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan.
Madinah Ramadan turut memberi peluang kepada orang ramai mengerjakan solat tarawih yang diimamkan oleh seorang imam dari Arab Saudim selain pengisian lain termasuk tadarus, program keagamaan dan kebajikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!