Negeri Sembilan gesa peserta Ijtimak Tabligh jalani pemeriksaan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jemaah yang diarahkan menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah dinasihatkan mematuhi arahan bagi membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19).
"Berdasarkan rekod sehingga semalam jam 5 petang semalam negara kita mencatatkan sebanyak 428 kes positif Covid-19 dan trend peningkatan kes baharu juga berlaku di Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri mahu rakyat mengambil langkah keselamatan yang disarankan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan wabak tersebut termasuk menangguhkan lawatan ke negara yang terjebak wabak.
"Tangguhkan dahulu perhimpunan atau penganjuran aktiviti yang melibatkan orang ramai, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair pencuci tangan (hand sanitiser)," katanya.
Sementara itu, Aminuddin turut berharap perkara itu mendapat kerjasama dan perhatian serius dari semua pihak bagi memastikan penularan wabak itu di Negeri Sembilan dapat ditangani sebaiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!