Hormati antara satu sama lain: Sultan Selangor
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat di negeri ini menghormati satu sama dengan tidak memperbesarkan perkara-perkara sensitif khususnya menerusi penggunaan teknologi.
Sebaliknya baginda bertitah, kemajuan teknologi pada masa kini perlu digunakan sebaiknya dengan menyebarkan perkara-perkara yang positif.
"Gunakanlah kemajuan teknologi untuk perkara yang positif dan boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah, berita palsu dan menghina seseorang yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat," titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 yang bermula hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharifuddin turut menitahkan agar setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini berbahas secara produktif dengan topik bermanfaat dan membangkitkan isu-isu semasa.
Baginda bertitah, setiap ADUN perlu memelihara kestabilan politik dan pentadbiran di negeri ini demi kesejahteraan rakyat.
"Rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu sehinggalah ke hari ini," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!