Covid-19: Kemudahan di bawah Motac tutup hingga 30 April
KUALA LUMPUR- Semua kemudahan awam di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) ditutup berkuatkuasa serta merta sehingga 30 April ini sebagai langkah berjaga-jaga penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan kesihatan awam dan bertujuan menyekat penularan wabak itu.
“Semua ketua jabatan dan agensi telah diarah menutup fasiliti awam di bawah seliaan masing-masing dan melakukan disinfektasi di semua ruangan kunjungan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Premis yang terlibat ialah Jabatan Muzium Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan, Perpustakaan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya dan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).
Semalam, 190 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dalam negara menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes. Seramai 35 orang telah sembuh daripada penyakit itu.
Dalam pada itu, Nancy turut menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu dalam menyekat penularan Covid-19 selari dengan usaha Kementerian Kesihatan.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!