Akibat panik, wanita kerugian lebih RM3,000

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Akibat panik dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, seorang wanita sanggup menyerahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali sehingga mengalami kerugian berjumlah RM3,400.

Wanita muda berusia 25 tahun itu bagaimanapun berasa tertipu dan membuat laporan polis, semalam apabila mendapati wang dalam akaunnya lesap selepas berurusan dengan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Penolong Pegawai Undang-undang Mahkamah Labuan dan pegawai kanan polis.

Terdahulu, mangsa diperdaya kononnya ada pihak lain menggunakan maklumat peribadinya untuk membuka akaun di sebuah bank di Labuan bagi aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah sehingga dia tanpa curiga menyerahkan maklumat perbankan internetnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, mangsa turut dikatakan mempunyai kes di mahkamah berhubung satu tuntutan saman.

"Mangsa panik apabila menerima pesanan melalui WhatsApp daripada pegawai kanan polis itu yang memaklumkan waran tangkap dan surat perintah pembekuan aset ke atasnya telah dikeluarkan sehingga menyerahkan maklumat perbankan internetnya kepada 'pegawai kanan polis' bagi tujuan siasatan dan dia juga diarah melapor diri kepada lelaki itu setiap dua jam.

"Mangsa bagaimanapun menyedari kehilangan wang dari dua akaun banknya itu selepas datang ke bank berkenaan untuk membuat semakan," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!