Empat remaja tunggang basikal lajak ditahan
GOMBAK - Polis Gombak menahan empat remaja lelaki dan menyita basikal lajak mereka kerana mengayuh secara melulu dan berbahaya di Bandar Baru Selayang semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun itu ditahan pada jam 5 petang ketika pemantauan di Bandar Baru Selayang menghala ke Jalan Bidara.
“Polis mendapati tujuh remaja menunggang basikal lajak tetapi tiga daripada mereka melarikan diri manakala yang lain dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
"Hasil pemeriksaan mendapati semua basikal mereka diubah suai dan tidak mempunyai ciri keselamatan seperti tiada sistem brek," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Selayang hari ini.
Arifai berkata, polis mengeluarkan dan memanggil penjaga remaja terbabit untuk sesi kaunseling dan amaran.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!