Covid-19: Aman Central nafi tutup operasi tiga hari

Pekerja di Aman Central menyahkuman dan membersihkan kesemua lif dan eskalator secara berkala setiap hari. Seorang pekerja menyahkuman dan membersihkan stesen auto bayaran tempat letak kereta di Aman Central.
Pekerja di Aman Central menyahkuman dan membersihkan kesemua lif dan eskalator secara berkala setiap hari. Seorang pekerja menyahkuman dan membersihkan stesen auto bayaran tempat letak kereta di Aman Central.
A
A
A

ALOR SETAR - Pusat membeli-belah terkemuka, Aman Central menafikan dakwaan pihaknya akan menutup operasi selama tiga hari susulan terdapat pekerja yang dikaitkan dengan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Pemasaran dan Komunikasi, Aman Central menjelaskan maklumat yang tular dan disebarkan menerusi laman sosial sejak semalam itu adalah palsu.

Menurut kenyataan itu, pihaknya berharap orang ramai dan pengunjung ke pusat membeli belah itu tidak panik selain mendapatkan maklumat sahih daripada pihak pengurusan.

“Elakkan cetus suasana panik dengan menyebarkan maklumat palsu. Orang ramai boleh rujuk maklumat rasmi Aman Central melalui media sosial Facebook atau Instagram serta Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pengurusan Aman Central turut mengambil langkah pencegahan mengekang penularan wabak dengan menyediakan cecair pencuci tangan di semua pintu masuk ke pusat membeli belah itu.

“Buat masa ini, stok agak terhad menyebabkan cecair pencuci tangan itu diletakkan di kaunter pertanyaan untuk kegunaan orang ramai. Apabila stok mencukupi, kita akan pastikan setiap pintu masuk diletakkan cecair pencuci tangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif turut diambil dengan menyahkuman dan membersihkan kesemua lif dan eskalator secara berkala setiap hari.

“Ini termasuk kesemua stesen auto bayaran tempat letak kereta serta mesin pengeluaran wang, tempat duduk awam sekitar bangunan turut dinyahkuman setiap hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya turut peka dengan perkembangan situasi terkini dengan menukar bahan pencuci kepada pencuci antikuman.

“Kami turut promosikan tips dan langkah pencegahan di medium media sosial agar pengguna peka dengan cara mencuci tangan yang betul termasuk kepentingan memakai topeng muka,” katanya.

Malah, katanya, untuk menggalakkan orang ramai mengunjungi Aman Central dengan inisiatif langkah pencegahan, pihaknya menawarkan parkir percuma dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang, bermula 23 Mac hingga 30 April, mengikut terma dan syarat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!