Covid-19: Masjid Benggali ditutup tiga hari
GEORGETOWN - Masjid Benggali di Lebuh Leith di sini ditutup tiga hari bermula hari ini bagi kerja menyahkuman susulan penularan wabak Covid-19.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, masjid berkenaan merupakan pusat jemaah tabligh bagi daerah Timur Laut.
Menurutnya, pihaknya telah dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) berhubung perkara itu.
"Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang sedang menunggu arahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan larangan mengadakan aktiviti awam di masjid seluruh negeri ini," katanya ketika dihubungi tadi.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu arahan dari Jakim bagi penangguhan solat jemaah dan Jumaat buat sementara waktu.
Sementara itu, Pengarah JHEAINPP, Zulkifli Long ketika dihubungi berkata, tindakan itu adalah langkah proaktif berdasarkan arahan Pejabat Kesihatan Daerah.
"Selain Masjid Benggali, kita juga menjalankan kerja pembersihan dan menyahkuman di Masjid Bandar Perda, Seberang Perai Tengah tetapi tidak ditutup," katanya.
Terdahulu, Wan Salim mengumumkan bahawa solat Jumaat dan aktiviti lain di masjid atau surau boleh diteruskan di Pulau Pinang sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan wabak Covid-19 masih terkawal.
Beliau bagaimanapun memberitahu kebenaran itu perlu disusuli dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang antaranya khutbah perlu dipendekkan selain jemaah perlu berwuduk di rumah dan tidak digalakkan menggunakan air kolah di masjid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!