Lima individu positif Covid-19

Azlan (dua dari kiri) ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar Perlis hari ini.
Azlan (dua dari kiri) ketika sidang media di Pejabat Menteri Besar Perlis hari ini.
A
A
A

KANGAR - Lima individu termasuk seorang wanita yang merupakan pelajar di Iran disahkan menghidap positif Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kesemua mereka dilaporkan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.

Menurut Azlan, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling manakala kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun yang baru pulang dari Qom, Iran.

Katanya, tiga kes lain turut melibatkan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan yang sama pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

"Kesemua mereka yang disahkan positif kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Tambah Azlan, rakyat Perlis yang mempunyai simptom wabak ini diminta segera mendapatkan saringan yang telah disediakan di lokasi tertentu.

“Kita nasihatkan mereka yang ada kontak dengan individu yang didapati positif ini untuk tampil menjalani pemeriksaan dengan segera.

"Setakat ini, seramai 109 individu yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling telah ditempatkan di Dewan 2020 bagi menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azlan, daripada jumlah itu, 23 sampel yang diambil negatif manakala selebihnya belum ada keputusan.

Pada sidang media sama Azlan turut mengumumkan penangguhan acara Perlis Marathon yang dijadualkan 4 April ini, kepada satu tarikh yang akan diputuskan kelak.

Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Kawalan Penyakit Berjangkit, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, Dr Hamizar Iqbal Abdul Halim berkata, individu yang mendapati berisiko dijangkiti diminta membuat pemeriksaan.

"Sekiranya individu yang berisiko enggan berbuat demikian, mereka boleh diambil tindakan selaras dengan Seksyen 15 (1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kurungan Akta 342.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!