Industri pakaian Bangladesh 'lumpuh'
DHAKA - BANGLADESH. Ribuan pekerja industri pakaian di Bangladesh mengadakan protes berhampiran ibu negara sebagai membantah bayaran gaji rendah hingga melumpuhkan sektor tersebut.
Insiden itu berlaku di Savar, hab pakaian di luar Dhaka, semalam dan kumpulan penunjuk perasaan itu turut bertempur dengan polis hingga memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
Jurucakap polis, Sana Shaminur Rahman berkata, kumpulan pekerja itu bertindak menyekat lebuh raya.
"Kami terpaksa menyuraikan mereka untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas," ujarnya.
Difahamkan, kumpulan protes itu telah mengadakan bantahan selama lebih seminggu dan sekurang-kurangnya seorang maut manakala puluhan lagi cedera bertempur dengan polis.
Industri pakaian di negara itu menyumbang 80 peratus hasil eksport yang memberi pulangan AS$30 bilion (RM123 bilion), sekali gus menjadikan ia pengeksport pakaian kedua terbesar di belakang China. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!