Covid-19: Orang ramai serbu pasar raya
SHAH ALAM - Peningkatan kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan arahan perintah berkurung akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
Penyebaran berita palsu di media sosial mengenai perintah berkurung turut memburukkan keadaan sehingga menyebabkan segelintir masyarakat bertindak membeli barangan keperluan asas dengan jumlah melebihi kebiasaan.
Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di sini semalam mendapati ruang jualan seperti beras, mi segera, sardin, tepung dan cecair pembasmi kuman menjadi tumpuan pelanggan.
Menurut seorang peniaga kedai jahitan, Haris Baharom, 57, situasi semasa penularan wabak berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh apabila kes dijangkiti mencecah 428 kes semalam.
“Pagi tadi (semalam) mula tersebar di kumpulan WhatsApp mengatakan Malaysia akan lockdown (berkurung).
“Bukan panik tapi risau kerana kita sudah tahu apa yang terjadi di negara yang diarahkan berkurung,” katanya kepada Sinar Harian.
Haris memberitahu, antara barang keperluan asas yang dibeli termasuk enam kampit beras, minyak masak, bihun, sos, uncang teh dan serbuk minuman sebagai persediaan sebarang kemungkinan perintah berkurung.
Kebimbangan itu turut dikongsi seorang pekerja swasta, Khairul Nizam Sidol, 38, apabila membeli beberapa barangan dalam jumlah melebihi kebiasaan.
“Kebetulan barang di rumah sudah habis dan hari ini saya beli terus sekali banyak. Memang risau tapi belum panik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!