Polis siasat kaitan kes dua mayat putus jari kaki
KUALA LUMPUR - Polis menyiasat perkaitan pembabitan jenayah berhubung penemuan dua mayat warga asing dengan kesan putus pada jari kakinya di dua lokasi berasingan, semalam.
Kedua-dua mayat itu ditemui di dalam longkang tepi jalan utama Ulu Yam menghala ke Batu Caves, Selangor dan bawah jejambat di Jalan Yew, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan masih dijalankan pihaknya berhubung kejadian tersebut.
"Buat masa ini masih belum dapat dipastikan lagi punca kejadian itu.
"Kita masih meneliti kaitan kedua-dua penemuan mayat tersebut dan biar polis jalankan siasatan dahulu," katanya kepada pemberita di Bukit Aman, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Kuala Lumpur bagi mengesan suspek dan mengenal pasti punca kejadian.
[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat lelaki ditemui bawah jejambat]
[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat berikat dalam longkang]
Terdahulu, satu mayat ditemui di tepi jalan utama Ulu Yam menghala ke Batu Caves dalam keadaan tangan dan kaki berikat dengan kepalanya ditutup baju.
Pemeriksaan forensik terdapat dua kecederaan pada mangsa iaitu dua jari kaki kanan dan satu jari kaki kirinya telah dipotong.
Sementara mayat kedua di bawah jejambat di Jalan Yew yang ditemui berhampiran dengan longgokan sampah mendapati jari telunjuk kaki kanan mangsa telah putus selain terdapat kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta mata kiri dan rusuk kirinya juga didapati lebam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!