Singapura bantu majikan sedia penginapan sementara pekerja Malaysia
SINGAPURA - [DIKEMASKINI] Agensi kerajaan dan persatuan perdagangan di Singapura bersedia membantu majikan tempatan untuk menyediakan penginapan sementara di republik itu untuk pekerja Malaysia.
Memetik Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Chan Chun Sing sebagai berkata, The Straits Times melaporkan majikan pekerja Malaysia yang perlu menempatkan kakitangan mereka di penginapan sementara itu boleh mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan dan persatuan perdagangan.
Menurut laporan itu, Chun Sing berkata, pihaknya memberi jaminan untuk menangani kebimbangan warga Singapura terhadap implikasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia mulai 18 hingga 31 Mac ini bagi menangani pandemik koronavirus (Covid-19).
Sementara itu, dalam status terkininya di laman Facebook, Chun Sing berkata, Singapura telah mempunyai pelan luar jangka sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan dan barangan keperluan dari Malaysia.
“Kami telah menyediakan perancangan yang kukuh bagi menangani keadaan ini dan akan terus mengkaji semula strategi kami bagi memastikan warga Singapura tidak terputus bekalan makanan dan keperluan,” katanya.
Chun Sing berkata, Singapura mempunyai bekalan sumber karbohidrat seperti beras dan mi untuk tempoh melebihi tiga bulan di peringkat nasional.
“Bagi sumber protein seperti daging dan sayur-sayuran, kami akan menggunakan gabungan bekalan segar, sejuk beku dan tin bagi memenuhi permintaan dan kami mempunyai bekalan melebihi dua bulan untuk penggunaan secara normal.
“Bagi bekalan telur, kami mempunyai pengeluaran di peringkat tempatan dan turut mengaktifkan pilihan kargo udara untuk menggantikan bekalan dari Malaysia sekiranya mengalami gangguan,” kata Chun Sing menerusi catatannya itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan Perdana Menteri secara langsung menerusi media elektronik dan media sosial pada jam 10 malam.
Sebanyak 125 kes positif baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 553 kes.
Chun Sing dalam maklum balas segeranya pada Isnin turut menasihatkan syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja Malaysia yang berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia setiap hari mengenai kemungkinan perlunya untuk mengaktifkan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan masing-masing.
Sementara itu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura dalam laman sesawangnya berkata, banyak syarikat berusaha untuk menyediakan penginapan kepada pekerja yang sering berulang-alik di antara sempadan Singapura dan Malaysia.
Menurut MOM, syarikat juga boleh menggalakkan pekerja terlibat untuk tinggal bersama saudara-mara, rakan-rakan atau kawan sekerja yang sudi menyediakan penginapan kepada mereka untuk sementara.
“Ini mungkin pilihan yang paling sesuai bagi sebilangan pekerja,” menurut kementerian itu.
Bagi pekerja yang tidak boleh tinggal bersama saudara-mara, rakan-rakan atau kawan sekerja, MOM berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk menyediakan pelbagai pilihan perumahan secara jangka pendek.
Menurutnya, pada masa ini, pelbagai hotel dan bilik asrama, unit bilik dan rumah di pangsapuri HDB serta hartanah perumahan persendirian yang sedia untuk didiami dalam jangka pendek. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!