Covid-19: Dua beradik terpaksa tangguh kenduri kahwin

Muhammad Faiq dan Nurul Syuhada sempat melangsungkan perkahwinan mereka di Pasir Putih, Kelantan, semalam.
Muhammad Faiq dan Nurul Syuhada sempat melangsungkan perkahwinan mereka di Pasir Putih, Kelantan, semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua beradik yang sepatutnya dirai dalam majlis kenduri perkahwinan terpaksa menangguhkan majlis itu berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Majlis perkahwinan Siti Zulhijjah Hadis, 24, dan adiknya, Siti Nurhanishah Hadis, 19, di Kampung Sungai Apong di sini, sepatutnya berlangsung pada 28 Mac depan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa membuat keputusan menangguhkannya demi keselamatan serta kesihatan tetamu undangan.

Bapa mereka, Hadis Said, 56, berkata, keputusan menangguhkan majlis kenduri kahwin tersebut dianggap jalan terbaik walaupun kad undangan dan persiapan sudah dibuat kira-kira tiga bulan lalu.

"Kami memohon maaf kepada saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga kerana terpaksa menangguhkan sementara majlis kedua-dua anak perempuan kami kerana lebih mementingkan soal kesihatan serta keselamatan mereka yang datang ke majlis nanti," katanya.

Hadis memberitahu, kira-kira 1,400 undangan dijangka menghadiri majlis perkahwinan anak ketiga dan keempatnya itu pada tarikh berkenaan.

"Kami sudah membayar wang pendahuluan katering sebanyak RM6,000 dan akan berbincang dengan mereka untuk menukar tarikh baru," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hadis, penangguhan majlis itu juga telah dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial, Facebook.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan memaklumkan tarikh baru sekiranya keadaan penularan Covid-19 kembali pulih serta tidak membahayakan kesihatan orang awam," katanya.

Bagaimanapun, Hadis berkata, akad nikah untuk Siti Nurhanishah tetap diadakan pada 27 Mac ini.

"Kami hanya mengundang kira-kira 10 hingga 20 saudara terdekat untuk menghadiri majlis akad nikah Siti Nurhanishah. Majlis pernikahan Siti Zulhijjah pula sudah dilangsungkan pada Januari lalu," katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita dari Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang pula bersyukur kerana adiknya, Muhammad Faiq Faidhi Shukahar, 27, sempat melangsungkan pernikahan dengan Nurul Syuhada Mohd Yunus, 27.

Fareena Farhana Shukahar, 33, berkata, majlis perkahwinan adiknya itu yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac ini juga tertangguh akibat penularan Covid-19.

"Alhamdulillah, adik sudah diijab kabul semalam di Pasir Putih, Kelantan. Bagaimanapun majlis kahwin sebelah kami (pihak lelaki) ditangguhkan dan tarikh lain akan dimaklumkan setelah keadaan kembali pulih," katanya.

Menurutnya, persiapan majlis perkahwinan adiknya yang menelan belanja kira-kira RM20,000 itu merangkumi bayaran pendahuluan katering, khemah dan pelamin.

"Kami sudah maklumkan kepada pihak terbabit dan mereka memahami keadaan ketika ini. Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!