Dua buah sekolah di Kudat ditutup

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU – Dua buah sekolah rendah di Kudat ditutup sementara hari ini melibatkan 42 guru dan 393 murid apabila berlaku kebakaran serta penemuan bom lama di kawasan sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Mistirine Radin berkata daripada jumlah itu, seramai 29 guru dan 283 murid melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit di Pulau Banggi apabila rumah guru serta bangunan pentadbiran sekolah itu terbakar, semalam.

“Pihak JPNS melawat SK Karakit hari ini untuk melihat ruang yang ada supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 3.26 petang itu, 81 rumah dan dua kuarters guru sekolah musnah hingga menyebabkan 303 orang kehilangan tempat tinggal, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di SK Karakit, Sekolah Agama Negeri Karakit dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Pulau Banggi.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Lok Yuk, Pinangsoo juga ditutup berikutan penemuan bom lama berhampiran kawasan sekolah itu, semalam.

Mistirine berkata penutupan sekolah itu atas nasihat pihak polis yang dijangka menjalankan aktiviti pemusnahan bom di kawasan berkenaan pada petang ini.

Semalam, sebutir bom jenis Airbomb peninggalan perang dunia kedua ditemukan oleh seorang lelaki ketika membersihkan kawasan kebun di Kampung Pinangsoo berhampiran dengan sekolah berkenaan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!