Resort World Genting tutup sementara operasi
SHAH ALAM – Resort World Genting akan menutup sementara operasinya bermula esok sehingga 31 Mac ini selaras Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Resort World Genting menyatakan penutupan sementara itu termasuklah semua hotel, premis makanan, kasino, Skytropolis Indoor Theme Park, kemudahan hiburan, tarikan, pasar raya dan kedai di Resort World Genting.
“Perkhidmatan kritikal seperti keselamatan, bomba, utiliti dan klinik akan terus beroperasi dalam tempoh ini.
“Semua tempahan di hotel pada tempoh ini juga akan dibatalkan. Tetamu boleh memohon pemulangan wang semula atau menukar tarikh tempahan. Semua terpakai untuk Resort World Awana, Resort World Kijal dan Resort World Langkawi,” kata syarikat itu hari ini.
Selain itu, Resort World Genting akan menyambung operasi pada 1 April 2020.
“Kami memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku akibat penutupan sementara resort kami. Kami juga berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama untuk membendung wabak Covid-19,” kata syarikat itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!