Saringan serviks: Malaysia di kedudukan terendah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada pelancaran Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (R.O.S.E) hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada pelancaran Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (R.O.S.E) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia hanya mampu mencapai kadar 12.9 peratus sahaja dalam saringan serviks, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kadar itu berada terlalu jauh di bawah sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 70 peratus, menjadikan ia cabaran untuk memujuk wanita tampil melakukan saringan berkenaan.

“Risiko hayat seorang wanita Malaysia untuk mendapat kanser pangkal rahim ialah 1 nisbah 116. Hanya 24 peratus wanita Malaysia dikesan menghidap tahap awal (Tahap 1) manakala 76 peratus disahkan setelah berada pada tahap seterusnya (Tahap 2, 3 & 4).

“Kawalan awal adalah jawapan bagi menghentikan penyakit itu dari terus merebak,” katanya pada pelancaran Program Hentikan Halangan Untuk Melakukan Skrin Serviks (R.O.S.E) di sini hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, kanser pangkal rahim adalah kanser ketiga paling banyak dialami dalam kalangan wanita (7.7 peratus) di Malaysia selepas kanser payudara (32.1 peratus) dan kanser kolorektum.

Sementara itu, menurut beliau, setelah mempunyai kemudahan internet dan infrastruktur yang mencukupi, kerajaan seharusnya mempunyai program-program yang mendidik rakyat supaya menggunakan teknologi berkenaan untuk meningkatkan taraf kehidupan.

“Satu perkara yang saya lihat ialah kita boleh bawa kemudahan internet ini ke kawasan luar bandar. Banyak peniaga kecil yang boleh mengguna internet untuk pasaran yang lebih luas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata akses internet tidak terhad kepada perniagaan, malah bidang perbankan, pendidikan dan perubatan juga mendapat manfaat yang sama.

“Misalnya perbankan, ramai yang pergi ke bank untuk memeriksa baki akaun. Tetapi jika gunakan kemudahan internet itu, kita tidak perlu lagi ke bank sebaliknya hanya menerusi perbankan secara internet,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pendaftaran dalam talian membolehkan penjejakan berhubung perkembangan terbaru setiap wanita yang telah menjalani skrin, termasuk butiran setiap episod skrin dan kemudahan penjagaan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Ini menjadi lebih selamat dan memastikan wanita menjalani skrin pada tempoh yang dicadangkan dan mereka menjalani pemeriksaan susulan mengikut tempohnya, dan ini dapat meningkatkan perjalanan peribadi setiap wanita untuk mengekalkan kesihatan serviks,” katanya.

R.O.S.E melibatkan pensampelan-sendiri, ujian HPV dan teknologi e-kesihatan bagi mengekalkan kesihatan serviks.

Ia satu inovasi oleh Universiti Malaya (UM) dan VCS Foundation of Australia yang akan mewujudkan satu usahasama tanpa membuat keuntungan untuk menggabungkan kepakaran kedua-duanya bagi pelaksanaan R.O.S.E sebagai program skrin serviks di Malaysia.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Hannah Yeoh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!