PBAPP tutup tiga kawasan rekreasinya
GEORGETOWN - Empangan Air Itam, Taman Rekreasi Bukit Dumbar dan Empangan Teluk Bahang akan ditutup sementara bermula esok sehingga 31 Mac ini.
Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya komited sepenuhnya untuk membendung Covid-19 demi keselamatan awam.
"Kawasan rekreasi tersebut yang diuruskan PBAPP perlu ditutup buat sementara waktu untuk menyokong inisiatif jarak sosial yang dilaksanakan di seluruh negara bermula esok bagi meminimumkan penyebaran Covid-19.
"PBAPP berdiri teguh bersama Pulau Pinang ketika keadaan memerlukan ini," katanya dalam satu kenyataan tadi.
Jaseni berkata, bagaimanapun semua kakitangan PBAPP akan bertugas seperti biasa dalam tempoh arahan kawalan itu demi memastikan bekalan air yang berterusan.
"Semua pepasangan bekalan air utama di Pulau Pinang akan terus dibuka dan beroperasi penuh iaitu 24 jam, tujuh hari seminggu untuk memenuhi semua keperluan bekalan air di negeri ini," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan selama dua minggu di seluruh negara mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020.
Beliau menjelaskan, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Untuk menguatkuasakan larangan tersebut, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!