Warga Kuantan buat pembelian panik
KUANTAN - Warga Kuantan didapati melakukan pembelian panik berdasarkan rak barangan di beberapa pasar raya kelihatan kosong dipercayai akibat habis dibeli berikutan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan malam tadi bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya utama di bandar tersebut mendapati, barangan keperluan asas seperti, beras, minyak masak, telur, gula dan sebagainya dilihat sudah habis dipercayai dibeli oleh pengguna.
Pemerhatian juga mendapati, orang ramai mengunjungi premis membeli-belah bagi mendapatkan barangan keperluan dalam jumlah yang banyak.
Seorang pengunjung, Aina Maisarah Abu Bakar, 34, berkata, dia tidak menyangka pembelian panik berlaku apabila mendapati banyak rak kosong ketika berkunjung ke sebuah pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada tengah hari, tadi.
"Semalam saya ada pergi ke pasar raya tetapi orang ramai. Jadi saya buat keputusan untuk membeli barang keperluan hari ini. Tapi banyak barangan dah habis. Saya pelik, kenapa orang suka buat panik seperti ini," katanya ketika ditemui di sebuah pusat membeli belah di Tanah Putih, hari ini.
Pada masa sama ibu kepada dua anak itu akur dengan arahan dikeluarkan oleh kerajaan demi kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
"Kalau boleh rakyat Malaysia jangan terlalu panik dengan berita tidak sahih sehingga menyusahkan orang lain untuk mendapatkan barangan keperluan," katanya.
Mohd Idham Razak,46, pula berkata, dia cuba membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya kerana bimbang bekalan tidak mencukupi bagaimanapun dia terkejut melihat rak beberapa barangan keperluan yang sudah habis.
"Ini pasar raya ketiga saya datang untuk membeli sedikit bekalan selepas diminta oleh isteri supaya saya membeli barangan keperluan sebagai persediaan. Tetapi nampaknya saya tidak sempat hendak membeli apa-apa kerana semua sudah habis," katanya.
Seorang lagi pengguna, R Khisnan, 25, berkata, dia hanya membeli barangan keperluan asas sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!