Azilah bantah Najib jadi pencelah dalam permohonan semakan kes
PUTRAJAYA - Bekas anggota polis, Azilah Hadri membantah permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam permohonan semakan yang difailkannya dalam usaha mengetepikan sabitan dan hukuman mati bagi pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Peguamnya, J Kuldeep Kumar yang menghadiri prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azniza Mohd Ali berkata, peguam Najib telah memfailkan afidavit jawapan berkaitan permohonan untuk menjadi pencelah dan menyerahkan dokumen itu kepada beliau hari ini.
"Kami membantah afidavit jawapan itu kerana ia tidak difailkan dalam tempoh masa yang dibenarkan," katanya sambil menambah peguam Najib sepatutnya memfailkan permohonan untuk mendapatkan masa lanjutan bagi memfailkan afidavit jawapan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud, yang hadir bagi pihak pendakwaan dalam prosiding pengurusan kes itu berkata, beliau mendapat arahan untuk membantah permohonan Najib sebagai pencelah dan permohonan semakan Azilah.
Bagaimanapun, Kuldeep memaklumkan pemberita bahawa beliau membantah tindakan Jabatan Peguam Negara yang memfailkan afidavit jawapannya berhubung permohonan semakan Azilah atas alasan mereka gagal berbuat demikian pada 31 Januari tahun lepas.
Kuldeep berkata, timbalan pendaftar akan menulis kepada pihak-pihak yang terlibat pada Khamis ini untuk memberikan arahan selanjutnya.
Beliau berkata, tarikh 20 April yang ditetapkan untuk Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan semakan Azilah dikekalkan.
Azilah, yang dijatuhi hukuman mati, kini ditahan di Penjara Kajang, telah memfailkan permohonan semakan itu pada 5 Disember tahun lepas bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam permohonan itu, Azilah, 43, meminta mahkamah mengenepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 serta memerintahkan satu perbicaraan semula.
Pada Disember tahun lepas, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihak media bahawa anak guamnya iaitu Najib telah menafikan segala dakwaan Azilah.
Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, telah didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.
Kedua-duanya telah dilepas dan dibebaskan pada 2013 selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman mati mereka.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan melepas serta membebaskan kedua-dua komando polis itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah.
Bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, 55, yang didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2008 atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung pembebasannya.
Peguam Sarah Abishegam hadir bagi pihak Najib, manakala peguam Sangeet Kaur Deo, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya dalam permohonan semakan itu turut hadir dalam prosiding pengurusan kes hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!