Gaduh berebutkan wanita Vietnam
IPOH - Polis meminta orang ramai tampil menyampaikan maklumat berhubung kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Vietnam di sebuah restoran di Menglembu, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya ada menerima aduan terdapat satu pergaduhan dipercayai kerana berebutkan seorang wanita di restoran itu.
"Polis bergegas ke tempat kejadian namun, pihak yang terlibat telah melarikan diri. Berdasarkan keterangan saksi, pergaduhan itu berlaku melibatkan beberapa lelaki mabuk kerana isu wanita juga warga yang sama.
"Sehingga sekarang tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak yang terlibat. Kita mendesak orang awam yang mempunyai maklumat dapat tampil ke hadapan," katanya.
Semalam, satu video pergaduhan melibatkan beberapa lelaki dipercayai warga Vietnam berlaku di sebuah restoran telah tular di laman sosial.
Video berdurasi seminit 12 saat itu memaparkan beberapa lelaki bergaduh telah menggunakan peralatan di restoran termasuk kerusi untuk memukul seorang lelaki sebelum kehadiran polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!