Perintah Kawalan: Perak percepat bayaran gaji
IPOH - Kerajaan Perak akan mempercepatkan pembayaran gaji kakitangan tetap dan kontrak serta pekerja sambilan harian pada 19 Mac ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu antara respons awal pentadbiran kerajaan negeri terhadap kesan Perintah Kawalan Pergerakan kepada golongan yang memerlukan.
Menurutnya, selaras dengan perintah kawalan bermula esok hingga 31 Mac ini, kerajaan negeri akan menanggung bayaran selama tiga bulan bermula Mac ini bagi empat jenis bayaran balik dan sewa.
"Ia melibatkan bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, bayaran balik Rumah Harapan, Pinjaman Pendidikan Negeri Perak dan bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam.
"Selain daripada itu, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menangguhkan sewa skim pertapakan kemudahan asas dan bayaran sewa bulanan Program Perumahan Rakyat Negeri Perak selama tiga bulan serta menyediakan bantuan one-off kepada penjaja dan peniaga kecil melalui pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan negeri berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan terus mengkaji inisiatif tambahan dari masa ke masa bersesuaian dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri.
"Kita akui, Perintah Kawalan Pergerakan ini akan sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian rakyat dan aktiviti ekonomi, tetapi ia adalah tindakan luar jangka yang mesti diambil, bagi mengekang penularan wabak yang boleh meragut nyawa ini.
"Setelah menilai kesannya terhadap aktiviti ekonomi, kita bersetuju memperkenalkan inisiatif-inisiatif berkenaan bagi mengurangkan beban golongan sasar," katanya.
Setakat ini, sebanyak 120 kes baharu telah dilaporkan di seluruh negara menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 673 kes dengan Perak merekodkan 23 kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!