Sultan Kelantan syor waktu khas warga emas berbelanja
KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya semua rakyat di negeri ini bertenang dan tidak membuat pembelian panik berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Istana DiRaja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, baginda juga menyeru supaya masyarakat akur dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan untuk kebaikan semua pihak.
“Baginda juga mencadangkan supaya kedai-kedai menjual barang keperluan merancang penjualan supaya bahan keperluan adalah mencukupi.
“Semoleknya, baginda menyarankan agar kedai yang menjual barangan keperluan menyediakan waktu khas untuk warga emas dan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan untuk membeli-belah dalam persekitaran yang selamat,” katanya.
Menurut titah tersebut juga, baginda turut menggesa semua pihak menghadiri Ijtimak Ulamak Malaysia di Masjid Sri Petaling yang masih belum menjalani pemeriksaan supaya segera ke hospital disenaraikan untuk menjalani saringan.
“Rakyat Kelantan juga disarankan untuk hanya mendapatkan maklumat sahih dari saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri serta tidak terburu-buru untuk mempercayai berita tular yang belum disahkan.
Baginda juga turut mengajak semua rakyat berdoa ke hadrat ALLAH SWT supaya penularan Covid-19 ini akan dapat dikawal dan keadaan di Malaysia akan pulih serta kembali seperti biasa.
“Semoga tindakan kolektif yang diambil oleh masyarakat akan dapat segera melandaikan puncak penyakit jangkitan (flatten the curve),” katanya.
Dalam keadaan semasa ini, baginda turut bertitah dengan memberikan penekanan bahawa peranan semua pihak adalah sangat penting dan rakyat Kelantan juga perlu menjaga kesihatan masing-masing.
“Ini terutama sekali ahli keluarga, warga emas dan golongan yang mudah terdedah serta sentiasa bertimbang rasa terhadap jiran sekeliling,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!