Pembelian panik, ini cara Rosyam Nor tangani pasar raya miliknya sesak
PEMBELIAN panik selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) mendapat perhatian pelakon, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor.
Beliau yang merupakan pemilik ST Rosyam Mart berkata, pasar rayanya antara pilihan orang ramai yang membuat pembelian panik hingga mengundang kebimbangan kerana keadaan menjadi tidak terkawal.
Justeru katanya, pihaknya terpaksa melakukan sekatan kemasukan pelanggan bagi mengelakkan berlaku kesesakan sekali gus mengundang tidak selesa di dalam pasar raya itu.
"Apabila Perdana Menteri buat pengumuman, pasar raya mula dikunjungi orang ramai untuk cari barang. Saya tahu semua panik tiba-tiba dan datang beramai-ramai.
"Minta maaf sebab keadaan dah jadi macam ni kami terpaksa tahan orang dekat luar supaya tak masuk dalam agar tidak menjadi terlalu padat.
"Kalau kita bagi semua orang masuk akan jadi lagi padat dan menyebabkan kesukaran untuk membeli barang... nanti jadi kelam kabut," katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.
Jelasnya, pasar raya miliknya itu akan beroperasi 24 jam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula tengah malam ini hingga 31 Mac ini.
"Kami harap anda semua bersabar kerana premis ini dibuka 24 jam dan stok barangan ada, kami dah bincang dengan pembekal.
"Malah penghantaran barang juga diteruskan macam biasa. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Minta maaf, harap semua dapat bersabar!" katanya.
Menjengah di ruang komen, warganet turut bersetuju langkah yang diambil oleh pelakon hebat itu bagi mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 selain menjarakkan hubungan sosial.
"Bukan hanya sempit saja tapi langkah keselamatan atau jangkitan itu paling penting. Semoga kita dilindungi." tulis Ramadhan.
Kata Alias, "Betul tak perlu panik, masih dibuka sehingga hujung bulan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!