Tiada pengeluaran wang panik di ATM, bank
ALOR SETAR - Tiada pengeluaran wang panik dilakukan orang ramai di bank-bank dan mesin pengeluaran automatik (ATM) di daerah ini susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Tinjauan Sinar Harian mendapati tidak wujud situasi orang ramai beratur panjang di ATM dan bank- bank untuk mengeluarkan wang tunai masing-masing.
Mohd UmzarulFaiz Umar, 42, berkata, dia pada mulanya bimbang terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mengeluarkan sedikit wang untuk membeli keperluan harian.
"Awalnya, takut juga terlampau ramai orang membuat pengeluaran wang hingga bank penuh dan terpaksa beratur hingga ke luar jalan.
"Bagaimanapun, saya lega apabila boleh buat pengeluaran wang seperti biasa, malah di ATM pun tidak ramai orang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, Liah Taib, 70, berkata, dia memuji usaha diambil sebuah bank di Bandar Alor Setar yang mengambil langkah pencegahan dengan meletakkan cecair pembasmi kuman di pintu masuk bank.
"Jadi, semua pengguna yang berhasrat untuk mengeluarkan wang ataupun melakukan urusan lain di bank terbabit boleh menggunakan cecair pembasmi kuman, sekali gus mengurangkan rasa bimbang apabila bersentuhan," katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula tengah malam ini sehingga 31 Mac depan di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!