FairPrice hadkan pembelian barangan

Telur turut termasuk dalam barangan yang dihadkan pembelian untuk setiap pengguna di pasar raya Singapura. - Foto Agensi
Telur turut termasuk dalam barangan yang dihadkan pembelian untuk setiap pengguna di pasar raya Singapura. - Foto Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Had baharu pembelian dilaksanakan di seluruh cawangan NTUC FairPrice bermula semalam susulan pengumuman Malaysia yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan keluar dan masuk ke negara itu.

Perkara itu diumumkan selepas pembelian panik gelombang kedua kembali melanda negara itu selepas langkah dibuat Malaysia untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Orang ramai dilihat kembali beratur panjang di kebanyakan pasar raya di seluruh negara bermula tengah malam semalam selepas pembelian panik sebelum ini tercetus sejurus Singapura menaikkan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) kepada jingga pada bulan lalu.

Jurucakap FairPrice dalam satu kenyataan memaklumkan pengguna hanya dibenarkan untuk membeli empat unit produk kertas seperti tisu tandas, tisu muka dan tisu dapur.

Selain itu, ia turut mengehadkan pembelian dua unit mi segera atau pasta dan dua pek beras untuk setiap pengguna.

Pengguna juga hanya dibenarkan untuk membeli ayam segar dan sayur-sayuran masing-masing berjumlah S$30 (RM91), tiga pek mengandungi 10 biji telur atau 30 biji dalam satu bekas telur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FairPrice Group, Seah Kian Peng memaklumkan situasi masih teratur walaupun pembelian kembali meningkat.

“Sejak pagi tadi (semalam), kami telah mengenakan sekatan ke atas pembelian beberapa barangan. Sekatan pembelian yang dikenakan sebelum ini terhadap beras, produk kertas dan mi segera masih dikekalkan untuk setiap isi rumah.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama, kami telah membuat simpanan inventori di gudang kami. Ia masih proses yang berterusan,” jelasnya menerusi Facebook.

Menurutnya lagi, FairPrice akan terus menambah bekalan dan dijangka mengambil masa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!