Bekas eksekutif disyaki tipu majikan RM400,000
KOTA BHARU - Tindakan seorang bekas eksekutif pajak gadai wanita sebuah syarikat kewangan di bandar ini memajak barang kemas yang dipajak pelanggan bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM400,000 dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai penaksir di syarikat kewangan pajak gadai itu ditahan pada Julai tahun lalu dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu esok.
“Suspek kerana dipercayai memanipulasi dokumen proses gadaian bagi mendapatkan kelulusan pinjaman tersebut.
“Modus operandi suspek adalah dengan mengambil barang kemas yang sudah digadai pelanggan di pajak gadai milik syarikat kewangan berkenaan sebelum dia memberikan barang kemas berkenaan itu kepada kenalannya untuk digadai semula menerusinya antara Mei 2016 dan Oktober 2016 hingga menyebabkan kerugian kepada syarikat kewangan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!