Langkah kawal pergerakan
AWANG percaya tentulah Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ambil kira semua pandangan sebelum buat pengumuman dua malam lepas. Bukan mudah nak buat keputusan sebesar itu. Seingat Awang inilah kali pertama Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 digunakan untuk kawal penyakit.
Bagus sangat tindakan itu. Kerajaan pun tak sebut lockdown tapi ‘perintah kawalan pergerakan’. Memang kesannya pada ekonomi yang sememangnya kurang sihat, cukup buruk. Wabak ini nampaknya merebak jauh lebih pantas daripada SARS, Nipah, Zika dan lain-lain.
Macam kata Tan Sri PM baharu, kita kena belajar daripada pengalaman negara China. Keadaan di China dah jauh lebih baik. Kota Wuhan di mana bermulanya wabak itu khabarnya dah pulih seperti sedia kala. Malangnya ada negara yang sekarang dalam krisis teruk akibat wabak ini macam Itali dan Iran.
Awang cuma berharap janganlah pula bila tak bekerja dua minggu ini ramai-ramai balik kampung. Jangan anggap ini cuti dua minggu pula.
Awang setuju dengan pandangan Datuk Dr Adeeba Kamaruddin yang nasihatkan orang kita jangan pergi bercuti atau balik kampung. Dr Adeeba ini memang faham hal penyakit berjangkit. Beliau salah seorang yang terlibat menyelidik dan mengena lpasti virus Nipah yang melanda negara pada tahun 1998/1999 dulu.
Covid-19 ini asalnya penyakit orang bandar yang hidup dalam suasana sesak. Jadi janganlah dibawa kampung pula.
Ikutlah nasihat kerajaan dalam hal ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!