Perintah kawalan pergerakan bermula hari ini, Kuala Lumpur tenang
KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari bermula hari ini, menyaksikan orang ramai akur dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan itu dalam usaha menangani penularan Covid.
Keadaan sesak yang biasanya dialami pada sebelah pagi hari bekerja di ibu negara tidak berlaku hari ini dengan keadaan tenang dan trafik lancar namun pengangkutan awam seperti bas dan rel beroperasi seperti biasa.
Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perintah itu bukan perintah berkurung yang sama sekali melarang orang ramai keluar rumah.
"Orang ramai juga tidak perlu membuat pembelian panik kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan, keperluan harian dan barangan penjagaan kesihatan adalah mencukupi," katanya.
Sikap panik berhadapan dengan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami tentang Perintah Kawalan Pergerakan itu, sehingga berlakunya beberapa masalah seperti pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai polis malam tadi berikutan orang ramai mahu mendapat permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung.
Selain itu, orang ramai turut memenuhi stesen pengangkutan awam seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke kampung halaman.
Hakikatnya, kesesakan yang berlaku dan ramai orang berada di tempat awam pada satu-satu masa itu berkemungkinan boleh meningkatkan lagi jumlah kes penularan Covid-19 pada ketika tindakan kerajaan itu adalah untuk mengelakkan orang ramai berkumpul.
Sehubungan itu, perintah mendapatkan permit rentas negeri itu ditangguhkan buat sementara waktu bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terbabit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!