Jumlah jemaah turun, Masjid TJ ambil langkah berjaga-jaga
TEMERLOH - Jumlah jemaah menunaikan solat Subuh di Masjid Temerloh Jaya (TJ) menunjukkan penurunan berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda di negara ini.
Pengerusi masjid, Dr Abdullah Ismail berkata, jumlah tersebut turun sehingga separuh daripada jumlah biasa antara 600 hingga 800 jemaah.
Menurutnya, penurunan jumlah jemaah itu ketara dalam tempoh seminggu ini ketika solat Subuh.
"Tiada larangan dikeluarkan tetapi pihak pengurusan masjid hanya mengingatkan jemaah yang tidak sihat, mengalami batuk dan demam tidak datang ke masjid dan memakai topeng muka.
"Kita juga telah melakukan pembersihan dan meletakkan hand sanitizer di setiap pintu masjid sebagai langkah berjaga-jaga sejak seminggu lalu selain menggalakkan mereka mengambil wuduk di rumah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sebelum ini, Masjid Temerloh Jaya pernah tular kerana jumlah jemaah yang memenuhi ruang solat terutama solat Subuh.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 600 jemaah tunai solat Subuh setiap hari
Dr Abdullah berkata, masjid terbabit juga mengadakan bacaan Qunut Nazilah pada solat Subuh dan hari Jumaat sebagai salah satu usaha mendoakan negara ini dijauhi wabak tersebut.
"Kita juga meminta jemaah masjid ini supaya mematuhi dan peka dengan segala arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan," katanya.
Menurutnya, beberapa aktiviti juga ditangguhkan termasuk Bicara Mufti Pahang Jelajah Masjid yang dijadualkan semalam.
Selain itu, masjid tersebut juga telah menggantung lawatan pengunjung atau rombongan penanda aras bermula 14 Mac lalu sehingga keadaan kembali pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!