Covid-19: Atlet tukul besi Jackie Wong stabil
SIBU - Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang disahkan positif Covid-19 kini, berada dalam keadaan stabil dan sihat.
Dalam kiriman di laman Facebooknya malam tadi, Jackie berkata, beliau sedang menjalani pemantauan dan rawatan lanjut di Hospital Sibu selepas menjadi atlet pertama negara positif wabak Covid-19 Isnin lalu.
Beliau turut menegur netizen supaya tidak berkongsi sebarang berita yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya juga ingin menegur di sini supaya jangan mengeluarkan atau berkongsi berita yang palsu dan belum disahkan oleh KKM. Anda amat dihargai!," katanya.
Ayahnya, Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu disahkan positif Covid-19 sehari sebelumnya.
"Mengenai dengan ayah saya (Wong Ling Biu), keadaan beliau pada hari ini lebih baik berbanding beberapa hari lepas, meskipun masih menggunakan alat bantuan pernafasan," katanya sambil meminta rakan Facebooknya terus berdoa untuk ayah dan keluarganya.
Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!