Waran tangkap Farid Kamil batal
PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini, hari ini membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari atas ketidakhadirannya bagi perbicaraan kes dadah yang dihadapinya, Jumaat lalu.
Majistret Nor Ariffin Hisham turut memerintahkan wang jaminan terhadap Farid Kamil, 37, dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 selain memohon peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili tertuduh mengemukakan alasan bagi membatalkan waran tersebut.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana kegagalannya hadir pada perbicaraan hari keempat kes itu, Jumaat lepas.
Megat Syazlee berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir memandangkan beliau mempunyai urusan di Johor Bahru, Johor.
"Bagaimanapun, setelah diberitahu, beliau kemudiannya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur namun keretanya rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor pada pukul 4 pagi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Waran tangkap untuk Farid Kamil]
"Keretanya sudahpun ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor dan beliau kemudiannya dapat dihubungi kira-kira pukul 11 pagi memandangkan bateri telefonnya sudah habis," katanya yang turut mengemukakan resit pembayaran tunda kereta dan gambar kereta Farid Kamil yang rosak kepada mahkamah.
Pelakon Lagenda Budak Setan itu kemudiannya memohon maaf dan memberitahu dia tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah dan sentiasa memberikan komitmen penuh pada perbicaraan sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memberitahu, tarikh perbicaraan pada 11 Jan itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tarik balik waran tangkap yang dikeluarkan pihak pembelaan kerana tertuduh hadir pada hari ini," katanya.
Turut hadir pada prosiding hari ini adalah bapa kepada pelakon itu, Datuk Dr Zahari Che Dan dan adiknya Fadzil Zahari.
Pada 25 Jan 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!