Penumpang Ekspress Mutiara, Musafir boleh buat pindaan tarikh
KOTA BHARU – Perkhidmatan Ekspres Mutiara dan Musafir akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dalam satu kenyataan di sini berkata, bagaimanapun penumpang yang berhasrat untuk membuat sebarang pindaan tarikh perjalanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut boleh berurusan di kaunter tiket E-Mutiara.
Menurutnya, pindaan hanya boleh dibuat di kaunter tiket E-Mutiara dan bergantung kepada kekosongan tempat duduk dan tertakluk kepada pindaan sedia ada.
“Penumpang yang sudah membuat tempahan tiket dan mahu meneruskan perjalanan boleh meneruskannya mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, menyedari perkembangan tersebut, pihaknya juga telah mengambil langkah proaktif meningkatkan kerja pembersihan bagi memastikan bas yang disediakan bersih dan sekali gus mengelak penularan virus berkenaan.
Katanya, untuk menjamin keselamatan penumpang, E-Mutiara turut mengambil langkah pencegahan dengan membuat kerja-kerja disinfeksi ke atas bas tersebut.
“Kebiasaannya setiap bas yang menamatkan perjalanan harian akan melalui proses pembersihan termasuk membasuh badan bas, mengurus sisa buangan dan menyedut habuk di tempat duduk penumpang.
“Kami juga turut melakukan pembersihan di kaunter tiket dan adalah mengikut panduan yang telah dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
"Cecair pembersih turut diletakkan di kaunter E-Mutiara dan di dalam bas untuk kegunaan penumpang," katanya.
Tambahnya, saringan kepada kakitangan juga dilakukan kepada semua termasuklah pemandu bas sebelum mereka memulakan tugas harian.
"Saringan kesihatan ini juga untuk memastikan semua kakitangan khususnya pemandu berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai simptom Covid-19,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!