Persatuan Hotel fokus hentikan penularan Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Industri perhotelan dimasukkan ke dalam sektor kritikal di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Kamaruddin Baharin berkata, bagaimanapun ia tidak bermaksud hotel boleh beroperasi seperti biasa kerana masih tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

“Perkara utama ialah menghadkan pergerakan manusia bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang kini merebak dalam kalangan rakyat kita.

“Hotel-hotel dihadkan perkhidmatannya hanya kepada tetamu yang sudah berada di hotel tersebut sebelum 18 Mac 2020 dan kemudahan makanan serta minuman hanya terhad kepada penghantaran ke bilik sahaja. Kemudahan lain ditutup,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Kamaruddin lagi, jumlah kakitangan hotel hanya dibenarkan secara minimum contohnya seperti keselamatan dan jurutera hotel.

“Kami menyedari ramai keliru dalam keadaan seperti ini dengan arahan yang singkat, tetapi nasihat kami adalah kita perlu melihat dari sudut yang lebih besar dan fokus untuk menghalang Covid-19 sebelum menjadi lebih parah.

“Kami akan jalankan peranan kami bagi menghalang pergerakan yang tidak perlu dalam situasi ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!