'Ingkar perintah kawalan kesalahan jenayah, boleh dipenjara'
KUALA LUMPUR - Semua pihak diharap akur dengan arahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa hari ini hingga 31 Mac ini dan keingkaran larangan merupakan kesalahan jenayah dan moral.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mengikut Seksyen 11(4) dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
"Perintah tersebut demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa Covid-19 yang semakin meningkat serta terbaru, melibatkan kes yang meragut dua nyawa," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.
Justeru, beliau meminta rakyat supaya tidak menganjur malah perlu menangguhkan sebarang perhimpunan sosial yang dirancang demi kesejahteraan negara sehingga keadaan diisytihar selamat.
Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.
Sebanyak 120 kes positif baharu dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 673 kes. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!