Kerajaan ambil pendekatan terancang tangani Covid-19: IDEAS
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil pendekatan terancang berdasarkan kepada keadaan penularan wabak Covid-19 yang bertambah buruk di negara ini dengan mengenakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Pengurus Penyelidikan Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Lau Zheng Zhou berkata, kerajaan telah meningkatkan langkah-langkah apabila keadaan bertambah buruk agar gangguan terhadap ekonomi dapat diurus dengan baik.
"Usaha yang dilaksanakan adalah jelas didorong penggunaan kerana ia menyasarkan segmen masyarakat yang terdedah secara langsung kepada impaknya seperti mereka yang telah dikenal pasti sebagai penerima Bantuan Sara Hidup, sektor pelancongan dan kakitangan yang akan berdepan dengan gangguan mendadak kepada penjanaan pendapatan mereka,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini.
Lau berkata, kejutan bekalan telah menyebabkan gangguan kepada pengeluaran kilang, yang memberi kesan kepada pembekal, pembeli dan kakitangan manakala sektor pelancongan juga terjejas dan mungkin membawa kesan pengganda yang sama ke atas perkhidmatan hospitaliti, industri makanan dan minuman dan malahan perkhidmatan e-hailing.
Kelmarin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac, 2020, berikutan penularan wabak Covid-19.
Perintah itu, yang pertama berlaku dalam sejarah negara, dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Ia melibatkan sekatan menyeluruh ke atas pergerakan dan perhimpunan awam di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Mengulas lanjut, Lau berkata, kerajaan perlu memantau situasi pandemik ini dan mengambil tindakan langkah demi langkah daripada menyediakan suntikan sekali besar-besaran ke dalam ekonomi.
"Langkah-langkah lain boleh diambil dalam sektor penjagaan kesihatan, sebagai contoh, sekiranya situasi semakin buruk dan kekurangan kapasiti menjadi satu isu. Tetapi ini perlu dilakukan dengan cara yang tidak membawa kejutan kepada kedudukan fiskal kerajaan,” katanya.
Muhyiddin juga mengumumkan langkah-langkah tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi sedia ada susulan mesyuarat pertama oleh Majlis Tindakan Ekonomi (AEC).
Langkah rangsangan yang diambil merangkumi peruntukan sebanyak RM120 juta untuk pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji serta RM500 juta bagi penyediaan diskaun dua peratus dalam pembayaran bil elektrik bulanan oleh industri, komersil, pertanian dan pengguna domestik.
Menurut Lau, penggunaan swasta adalah hampir 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan telah diberi pampasan berikutan penurunan dalam pelaburan.
"Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan impak. Tetapi dalam jangka masa sederhana ke panjang, berkemungkinan pertumbuhan berdasarkan pelaburan akan bergantung kepada proses kecekapan dan inovasi produk termasuk meningkatkan daya saing eksport," tambahnya lagi.
Ditanya sama ada kesan Covid-19 akan menjadi lebih serius ke atas ekonomi global berbanding krisis kewangan 1997, Lau berkata di peringkat global, banyak kerajaan dan bank pusat telah membuat penyelarasan untuk merangsang ekonomi.
"Ini sangat berbeza daripada pengembangan dan pengecutan aset yang kadang kala memberikan kejutan kepada penggubal dasar. Tetapi dalam mana-mana kes, Covid-19 telah memberi kejutan bekalan kepada ekonomi dan menjejaskan permintaan global pada kadar yang agak teruk, jadi implikasinya boleh bertambah serius," katanya.
Pada Februari lepas, Bank Negara Malaysia memberi amaran bahawa Covid-19 jika tidak dibendung, mungkin akan menjejaskan pertumbuhan domestik terutamanya pada suku pertama 2020.
Sementara itu, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac menggesa kerajaan-kerajaan terlibat untuk melihat kargo udara sebagai satu bahagian penting dalam usaha menangani Covid-19.
Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengambil beberapa tindakan seperti mengecualikan operasi kargo udara daripada sekatan perjalanan yang berkaitan dengan Covid-19 bagi memastikan produk perubatan yang menyelamatkan nyawa boleh diangkut tanpa gangguan, serta mengecualikan kru pesawat kargo, yang tidak berinteraksi dengan orang ramai, daripada keperluan kuarantin 14 hari.
"Lebih 185,000 penerbangan awam telah dibatalkan sejak akhir Januari lalu susulan sekatan perjalanan kerajaan. Dengan ini, kapasiti kargo yang amat penting telah lenyap pada saat yang kritikal dalam usaha memerangi Covid-19. Ini menyebabkan armada pesawat pengangkut sedia ada telah digerakkan bagi menampung kekurangan kapasiti ini.
"Pihak kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk memastikan bahawa talian pembekalan penting ini kekal terbuka, cekap dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!