Covid-19: Sektor ekonomi digital perlu dimaksimum
SHAH ALAM - Sektor ekonomi digital perlu segera diperkasakan agar ekonomi terus bergerak dalam situasi negara menghadapi ancaman wabak koronavirus (Covid-19) kini.
Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berkata, ekonomi digital harus menjadi enjin utama sekarang sebagai konduit antara penawaran dan permintaan.
Menurutnya, dari segi perspektif, menurut Bank Dunia, ekonomi digital akan tumbuh hampir 20 peratus dari segi nilai tambah dan dijangka bernilai lebih RM110 bilion dalam tahun 2020, di mana menyumbang 40 peratus kepada saiz ekonomi digital.
"Justeru kami mencadangkan sebagai penyelesaian segera, perlu dimaksimumkan dan diperkasa urusan dan transaksi dalam talian untuk semua sektor sama ada kerajaan dan swasta.
"Saluran yang sedia ada dalam semua urusan jabatan-jabatan kerajaan dan urus niaga dengan pihak swasta harus digunakan sepenuhnya untuk terus menyokong agregat penawaran dan permintaan.
"Untuk penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang pula, undang-undang yang tuntas perlu dirangka dan digubal bagi mengurus dan mengawal selia aktiviti ekonomi digital memastikan aktiviti bergerak dan tumbuh dalam kerangka dan ruang lingkup yang dikehendaki oleh Kerajaan, bersesuaian dengan pelan pembangunan jangka panjang negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerangka perundangan yang komprehensif akan memastikan negara akan mendapat pendapatan daripada setiap aktiviti dan pelaburan dalam sektor ekonomi digital.
Ujarnya, ia juga akan memastikan sektor ini berjaya untuk meningkatkan produktiviti negara ke tahap yang lebih tinggi.
"Hanya dengan pulangan dan produktiviti yang tinggi akan memastikan ekonomi digital menjadi enjin pertumbuhan baharu yang efektif.
"Sebagaimana saranan kami yang lalu juga, Malaysia perlu mewujudkan sistem cukai khusus untuk ekonomi digital.
"Ini akan memastikan sektor yang sedang berkembang pesat ini dicukai dalam struktur yang sepatutnya, yang akhirnya akan memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!