Suruhanjaya Koperasi pertimbang tangguh pembayaran balik pembiayaan
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengambil inisiatif untuk mempertimbangkan sebarang permohonan penangguhan pembayaran balik pembiayaan daripada koperasi yang kerugian akibat penularan Covid-19.
Dalam kenyataan hari ini, SKM berkata, ia turut mempertimbangkan untuk membuat penjadualan semula ke atas pembiayaan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi atau apa-apa pembiayaan yang dikeluarkannya bagi membantu memulihkan ekonomi koperasi yang terjejas akibat penularan tersebut.
“Suruhanjaya mengambil kira kesan wabak Covid-19 kepada ekonomi negara yang mengakibatkan kerugian kepada koperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan wabak ini,” katanya.
Selain itu, SKM turut menggalakkan koperasi yang mengeluarkan pembiayaan peribadi, pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan mikro kredit kepada anggotanya untuk turut sama menawarkan penangguhan pembayaran balik terbabit.
“Ini terutama kepada anggota yang berdepan dengan masalah kewangan seperti tindakan pemberhentian pekerjaan oleh majikan, cuti tanpa gaji dan perniagaan yang terjejas,” katanya.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!