Peniaga, penjaja jangan degil!

Asmadi
Asmadi
A
A
A

IPOH - Persatuan Penjaja Negeri Perak menggesa semua peniaga akur Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Yang Dipertuanya, Asmadi Teh berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada semua ahli persatuan melalui aplikasi WhatsApp supaya mematuhi peraturan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, arahan tersebut wajar dipatuhi oleh semua peniaga demi keselamatan semua pihak walaupun terpaksa berdepan kerugian.

"Kebanyakan ahli kami telah diingatkan tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan. Kebanyakan mereka akur dengan arahan tersebut tetapi ada juga yang masih degil meneruskan perniagaan seperti biasa.

"Pihak persatuan tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat ahli yang dikenakan tindakan undang-undang disebabkan ingkar arahan tersebut kerana perkara itu semua sudah sedia maklum," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa selama 14 hari di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Asmadi menyambut baik usaha kerajaan negeri memperkenalkan beberapa inisiatif membantu golongan peniaga di negeri ini dalam menghadapi ancaman Covid-19.

Katanya, pemberian bantuan sekali bayar kepada penjaja dan peniaga melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sedikit sebanyak melegakan golongan itu yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dengan pengumuman beberapa inisiatif yang diumumkan semalam. Sekurang-kurangnya penjaja dan peniaga dapat menarik nafas lega kerana mereka hilang sumber pendapatan ekoran arahan yang dikeluarkan berkaitan perintah tersebut.

"Cuma kita mengharapkan sebarang bentuk bayaran balik pinjaman oleh agensi kerajaan dan bank dapat ditangguh ke satu tempoh munasabah kerana peniaga memerlukan masa untuk memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat Covid-19 ini," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu pihak yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara inisiatif itu, menanggung bayaran selama tiga bulan bermula Mac ini bagi bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, bayaran balik Rumah Harapan, Pinjaman Pendidikan Negeri Perak dan bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Perintah Kawalan: Perak percepat bayaran gaji

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!